Jumaat, 13 Februari 2009

7 April p'raya di Bkt Gantang, Bkt Selambau

Pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, di Kedah akan diadakan serentak pada 7 April depan.Manakala tarikh penamaan calon pula - bagi kedua-dua kerusi tersebut - ditetapkan pada 29 Mac.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof selepas mempengerusikan mesyuarat suruhanjaya itu di Putrajaya pagi tadi.
Ini bermakna kedua-dua pilihanraya kecil itu akan diadakan selepas perhimpunan agung Umno yang bakal menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan parti terbesar orang Melayu itu.
Perhimpunan agung Umno dijadualkan berlangsung dari 24 hingga 28 Mac depan.
Kerusi Parlimen Bukit Gantang kosong ekoran kematian penyandangnya, Roslan Shaharum daripada PAS akibat diserang sakit jantung. Manakala V Arumugam daripada PKR meletak jawatan sebagai Adun Bukit Selambau.

Ini juga merupakan pilihanraya kecil pertama bagi Datuk Seri Najib Tun Razak seandainya peralihan kuasa dalam Umno dan kerajaan berjalan seperti yang dijangkakan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka menyerahkan kuasa kepada Najib sejurus selepas selesai perhimpunan agung Umno bulan depan.
Mengenai kerusi Bukit Selambau, Abdul Aziz berkata, beliau berpuashati dengan dokumen yang diberikan, yang menurutnya, sah dan asli dari Arumugam.

"Setelah kita berbincang, kita dapati tidak ada unsur-usnur keraguan," tambahnya.
Mengenai keputusan untuk mengadakan pilihanraya kecil serentak bagi kedua-dua kerusi berkenaan, Abdul Aziz berkata:

"Kita tidak mahu tempoh berkempen terlalu panjang. Apabila ini berlaku, macam macam isu akan keluar, mungkin timbul keresahan, mungkin akan mengancam keselamatan awam dan negara. Kita tidak mahu orang yang berkempen letih".Beliau juga berkata tarikh pilihanraya kecil tidak ada kena mengenai dengan perhimpunan Umno bulan depan.

"Keputusan ini dibuat supaya semua selesa," tambahnya.Menurutnya, tempat penaman calon bagi parlimen Bukit Gantang akan diadakan di dewan Majlis Perbandaran Taiping.
Manakala tempat penamaan calon bagi DUN Bukit Selambau pula di Sekolah Menengah Teknik Sungai Petani 1.

Tiada ulasan: